Anda bukan bersendirian! Ramai bayi, terutama yang baru lahir, suka berjaga di tengah malam. Bayi-bayi ini nampaknya tak faham yang mereka sepatutnya aktif di siang hari dan tidur di waktu malam.
Di siang hari, semua perkara lebih senang diurus. Bayi anda banyak menghabiskan masa untuk tidur, bangun untuk menyusu, main sekejap, kemudian tidur kembali. Di malam hari walau bagaimanapun, semuanya berubah. Dia berjaga dan tidak mahu tidur. Yang membuatkannya lebih sukar ialah kebanyakan bayi ini juga suka menangis di waktu malam.
Semasa hamil, anda selalunya boleh meramalkan samada bayi anda akan menjadi sebegini. Jika bayi anda aktif di waktu malam semasa dia dalam uterus (rahim) anda, dia mungkin berkelakuan sama apabila dilahirkan. Jika dia banyak bergerak di waktu siang sepanjang kehamilan anda, dia juga mungkin aktif di siang hari setelah dilahirkan. Sememangnya ini bukan halnya bagi semua bayi, tetapi adalah panduan yang baik.
Jadi apa yang anda boleh lakukan? Malangnya, tak banyak, terutama sekali semasa peringkat baru lahir. Anda sendiri mungkin perlu bertukar menjadi burung hantu malam, tetapi yakinlah keadaan ini akan bertukar dan menjadi lebih baik. Apabila bayi anda sudah berusia beberapa minggu, jika masalah ini berlanjutan, anda boleh melakukan beberapa perkara untuk memasangkan semula jam dalaman dia.
• Bangunkan dia di waktu pagi pada waktu yang normal dan jangan biarkan dia tidur untuk mengganti tidur yang tak diperolehi di waktu malam. Memang anda akan tergerak untuk membiarkan dia tidur supaya anda sendiri boleh tidur atau berehat dengan aman tenteram untuk beberapa minit, tetapi jika anda lakukan begitu anda akan membayar kembali di malam berikutnya.
• Sepanjang hari, mainlah dengan dia seberapa banyak yang boleh. Walaupun dia sedang tidur nyenyak, bangunkan juga dia untuk penyusuan.
• Biarkan langsir di biliknya sentiasa terbuka dan pastikan anda berbuat bising seperti yang lazim. Jangan padamkan bunyi telefon atau mengelak daripada menggunakan mesin basuh pinggan mangkuk. Ini juga akan membantu menjadikan bayi anda tidak senang terjaga, kalau tidak, 10 tahun ke hadapan kelak anda akan mendapati diri anda berjengket perlahan-lahan apabila anak anda sedang tidur.
• Jangan main dengannya di waktu malam. Biarkan bilik dia gelap, dengan cahaya minima untuk membolehkan anda menyusu dan menukar lampin. Berdiamlah supaya menenangkan dia. Bergerak dan bercakap secara perlahan. Pendek kata, berlagaklah dengan cara yang membosankan.
Bayi anda akan sedar dalam sedikit masa nanti yang siang hari itu digunakan untuk berseronok dan malam hari untuk tidur. Proses ini akan memakan masa beberapa hari atau beberapa minggu, tetapi jika anda kekal dengannya, anda akan mendapat seorang bayi yang tidak berjaga malam dalam sedikit masa lagi.
0 comments:
Post a Comment